Apakah pendirian PAS terhadap KMM dan Keganasan , Menyokong atau menentang ? Sila Nyatakan segera !

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Pas hari ini dicabar menyatakan pendiriannya sama ada menyokong atau menentang kumpulan militan KMM bagi membuktikan keikhlasan parti itu menentang keganasan.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, tiada gunanya Pas menentang pengganas dan keganasan di peringkat antarabangsa tetapi tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan ke atas KMM.

``Mulai hari ini, saya harap Pas tidak lagi berdolak- dalik. Pas perlu memperjelaskan pendiriannya terhadap pengganas dan keganasan, baik di peringkat antarabangsa mahupun di Malaysia.

``Pas perlu menyatakan pendiriannya secara tegas terhadap KMM. Adakah Pas menyokong atau menentang KMM?'' katanya ketika membahaskan Belanjawan 2002 di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun Pas pernah menegaskan bahawa parti itu menentang sebarang bentuk keganasan, amat malang ia tetap bersikap sinis apabila kerajaan menahan beberapa anggota KMM di bawah ISA.

Ruhanie mendakwa sikap permusuhan sesama Islam yang disemarakkan oleh Pas telah mendorong kebangkitan KMM yang bercita-cita mewujudkan sebuah negara Islam di Malaysia menerusi kekerasan.

Dalam hal ini, beliau menggesa Pas berhenti mempolitikkan isu negara Islam kerana ia telah menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Beliau yakin sebenarnya dalam fikiran ahli Pas sendiri mengakui status Malaysia sebagai negara Islam seperti yang disebutkan oleh ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu ketika membentangkan usul pada 10 Oktober lalu.

Mengulas kenyataan Abdul Rahman Yusof (Keadilan-Kemaman) bahawa akhbar arus perdana memperbodohkan rakyat, Ruhanie menegur ahli Parlimen itu yang tidak menghargai sumbangan akhbar seperti Utusan Melayu dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan kemerdekaan.

Beliau turut membidas Abdul Rahman yang cuba membandingkan media tempatan dengan media asing yang didakwanya lebih bebas membuat liputan.

``Media Barat yang diagung-agungkan oleh Ahli Parlimen Kemaman itu sebenarnya memainkan peranan selektif ketika membuat laporan mengenai kempen memerangi keganasan yang dipimpin AS.

``Sewaktu RTM dan TV3 melaporkan mengenai ribuan rakyat AS memprotes pengeboman ke atas Afghanistan, CNN tidak langsung melaporkannya seolah-olah menggambarkan sokongan rakyat AS terhadap serangan balas itu adalah total,'' katanya. Beliau turut bersetuju dengan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) bahawa Belanjawan 2002 yang dibentangkan Jumaat lalu telah menjadikan pembangkang lebih bercelaru.

``Pengumuman bonus setengah bulan gaji yang diumpamakan oleh pembangkang hanya cukup untuk `membeli seluar dalam dan pisau cukur' menggambarkan minda mereka yang remeh-temeh dan tidak berjiwa besar,'' katanya.